Mohd Nasuruddin Daud
Mohd Nasuruddin Daud
Siti Rohana Idris


Pasir Mas: Kerajaan negeri mungkin akan menganjurkan lagi solat sunat Istisqa' dalam masa terdekat jika cuaca panas melampau masih berterusan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nasuruddin Daud berkata, bagaimanapun rasa syukur sudah dipanjatkan kepada Allah kerana hujan semalam di sebahagian besar negeri ini sebaik solat Istisqa' dibuat sehari sebelum 1 Syawal lalu.

"Apabila keadaan kemarau berpanjangan, Rasulullah SAW menganjurkan solat Istisqa' untuk memohon kepada Allah supaya turunkan hujan kerana hujan turun dengan perintah Allah.

"Alhamdulillah bila rakyat Kelantan di semua tempat tunaikan solat Istisqa' memohon kepada Allah, doa kita dimakbulkan malah pagi sebelum itu pun hujan sudah turun di beberapa tempat disusuli hampir keseluruhan daerah di negeri ini hujan pada 1 Syawal.

"Kita harap hujan akan turun dalam keadaan berkala tapi kalau kemarau masih berpanjangan, Insya-Allah kita akan sentiasa buat solat Istisqa'," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kelmarin sebanyak 14 Parlimen di Kelantan mengadakan solat sunat Istisqa' bagi memohon hujan susulan kemarau yang teruk pada ketika ini.

Terdahulu Mohd Nasuruddin hadir dalam Majlis Rumah Terbukanya di perkarangan Maahad Tahfiz Daril Ulum, di sini, hari ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2024 @ 2:20 PM