Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan berhubung penipuan invois berjumlah RM40,000 di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini.

Aziedy Abdul Talib, 42, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Tertuduh didakwa telah menipu kakitangan Mutiara.Com Sdn Bhd dengan cara memperdaya Madiani Ab Manaf untuk mempercayai bahawa kandungan invois untuk perkhidmatan 'Kaspersky Antivirus License Renewal Consultation Service' adalah benar bagi mendorong bayaran RM40,000 kepada ATR Resources Enterprise, syarikat milik adiknya.

Aziedy hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini. FOTO DANIAL SAAD
Aziedy hadir di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini. FOTO DANIAL SAAD

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pejabat di Tingkat 14 Menara UMNO, Jalan Macalister dalam daerah Timur Laut pada 11 Oktober 2016.

Bagi pertuduhan itu, Aziedy didakwa melakukan kesalahan terbabit di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Aziedy turut dibacakan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman, manakala tertuduh diwakili peguam Ang Chun Pun.

Noor Azura memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 selain meminta tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap sebulan sekali, sebagai syarat tambahan.

Namun, peguam tertuduh merayu supaya jaminan dikurangkan atas faktor anak guamnya perlu menyara isteri, dua anak, ibu bapanya yang sudah uzur dan seorang adik yang tinggal bersamanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan mengenakan syarat tambahan supaya pasport antarabangsa diserahkan, selain melapor diri di pejabat SPRM.

Kes akan disebut semula pada 26 Jun depan.

Terdahulu, pada 19 April lalu, Aziedy didakwa atas pertuduhan mendapatkan suapan dengan memberi kelulusan terhadap syarikat milik adik kandungnya untuk membekalkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan memasang sistem perhubungan bernilai keseluruhan RM415,397, tujuh tahun lalu.

Selain itu, dia juga turut dituduh menyalahgunakan jawatannya dengan mendapatkan suapan apabila sekali lagi meluluskan syarikat adik kandungnya untuk kerja-kerja pembekalan pemasangan sistem itu bagi projek perumahan sama melalui 'purchase order' bernilai RM191,811 yang kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada 4 Februari 2016 dan 14 Jun 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 1:17 PM