Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang pembantu tadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan mendapatkan suapan dengan mengesyorkan syarikat milik anak lelakinya berhubung kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan beberapa peralatan, dua tahun lalu.

Mohd Zulkrnin Abdul Rashid, 49 membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan sebaik semua pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kesemua pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa sebagai pegawai badan awam menggunakan jawatannya iaitu pembantu tadbir gred N22 untuk mendapatkan suapan selepas mengesyorkan syarikat milik anak sulungnya, Salam Rizqi Maju Enterprise untuk kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan peralatan melalui lima nota minta yang keseluruhannya bernilai RM8,890.

Pengesyoran itu adalah bagi perkhidmatan mengambil dan menghantar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubok ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) Arumugam Pillai bernilai RM550 dan kerja pembekalan poster Covid-19 untuk kegunaan Jabatan Tenaga Manusia (JTM) berjumlah RM950.

Dalam pada itu, tertuduh yang kini ditukarkan perkhidmatan ke Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut didakwa mendapatkan suapan membabitkan kerja pembekalan peralatan pencegahan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bernilai RM4,790.

Pada masa sama, tertuduh juga mengesyorkan syarikat sama bagi membekalkan makanan dan minuman bernilai RM600 serta membekalkan jata negara dan pemasangan cermin gelap kenderaan jabatan bernilai RM2,000.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di ILP Arumugam Pillai di Nibong Tebal, dekat sini antara Februari hingga Julai 2020 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, tertuduh merayu supaya wang jaminan dikurangkan dengan memberi alasan bahawa masih menanggung seorang lagi anak masih bersekolah, selain berdepan kesusahan memandangkan dia bersama isterinya dalam proses perceraian.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 12:39 PM