Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Setiausaha Majlis Daerah Selama (MDS) dihadapkan buat kali kedua ke Mahkamah Sesyen Ipoh di sini, hari ini atas empat lagi pertuduhan menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan suapan berjumlah RM6,170.20 kira-kira tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Shah Nizam Abdul Aziz, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mohd Shah Nizam didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan untuk mendapatkan suapan apabila melantik NMS Usaha Enterprise dan D Jaya Nurd Enterprise bagi kerja-kerja pembekalan sabun, peluntur, bingkai gambar serta saguhati Cabutan Bertuah ke Rumah Rehat Majlis Daerah Selama.

Bagi tiga pertuduhan itu, Mohd Shah Nizam didakwa mendapatkan suapan RM3,670 melalui baucar bayaran kerajaan daripada pemilik syarikat NMS Usaha Enterprise, Nur Maizatul Adawiyah Mohamed yang juga adik iparnya, antara 16 Disember 2017 hingga 2 April 2018.

Manakala bagi pertuduhan keempat, Mohd Shah Nizam didakwa mendapat suapan RM2,500.20 daripada pemilik syarikat D Jaya Nurd Enterprise, Nordini Nordin yang juga isterinya pada 25 Julai 2017.

Bagi kesemua pertuduhan, Mohd Shah Nizam didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

SEORANG pegawai kerajaan dihadapkan kali kedua ke Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
SEORANG pegawai kerajaan dihadapkan kali kedua ke Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin dan tertuduh diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi serta Mohd Syairusrohan Mohd Sehan.

Nurul Wahida mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, sebulan sekali.

Bagaimanapun, Amir Khusyairi memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh sudah berkahwin dan menanggung tiga anak berusia empat tahun hingga lapan tahun selain perlu memberi perhatian terhadap ibu bapa yang sudah tua selain berpenyakit.

Indra Nehru mengarahkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan 27 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, pada 10 September lalu, Mohd Shah Nizam turut mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan suapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 3:00 PM