TERTUDUH diiring pegawai SPRM selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di Tawau atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM16,000 empat tahun lalu. FOTO Abdul Rahemang
TERTUDUH diiring pegawai SPRM selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di Tawau atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan berjumlah RM16,000 empat tahun lalu. FOTO Abdul Rahemang
Abdul Rahemang


SEORANG pembantu tadbir kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini atas tuduhan menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan RM16,000 empat tahun lalu.

Tertuduh, Imrah Bakalanah, 54, membuat pengakuan itu dan memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, Imrah yang bertugas sebagai Pegawai Tadbir Kanan gred W22, dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Unit Kewangan Hospital Semporna pada 2 November 2015.

Dia dituduh menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan itu dengan meluluskan proses pembayaran pesanan kerajaan bagi kerja-kerja penyelenggaraan kuarters kerajaan RM19,800.00 kepada syarikat Syarizman Jaya Development pada 2 November 2015.

Bagaimanapun, kerja-kerja penyelenggaraan itu dilaksanakan sendiri oleh tertuduh.

Tertuduh diwakili peguam, Darmin Achok, manakala pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SRPM Sabah, Clementine Severinus.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1), akta sama dan memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000.00 dengan seorang penjamin tempatan selain beberapa syarat tambahan termasuk tertuduh dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM Tawau dua kali sebulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah selain dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, Darmin memohon budi bicara mahkamah mengurangkan wang jaminan RM2,000 kerana tertuduh adalah penjawat awam yang mempunyai pendapatan bersih RM600 sebulan selepas ditolak segala hutang selain tanggungan iaitu isteri dan lima anak.

Abu Bakar kemudian memutuskan jaminan RM10,000 dengan RM4,000 deposit dengan seorang penjamin tempatan selain tertuduh dikehendaki mematuhi beberapa syarat tambahan dan menetapkan 4 Semptember depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 2:44 PM