Yahaya (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO NSTP
Yahaya (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kegiatan seorang lelaki yang menjadikan kenderaan serta rumah sewanya di sebuah kondominium di Ampang, Selangor, sebagai stor menyimpan dadah untuk diedar terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan di Cheras, di sini, 14 April lalu,

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya menjalankan serbuan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Cheras kira-kira 11 pagi, Sabtu lalu, yang membawa kepada penahanan lelaki berusia 29 tahun berkenaan.

Katanya, polis merampas 114 kilogram (kg) dadah syabu di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire di tempat letak kereta berhampiran tempat suspek ditahan.

"Hasil tangkapan itu, kami menjalankan satu lagi serbuan di sebuah rumah di sebuah kondominium di Ampang, jam 12.15 tengah malam, Ahad lalu.

"Pemeriksaan di dalam rumah itu menemui ekstasi seberat 1.8 kg, syabu (3.1 kg), erimin 5 (1.3 kg) dan ketamin (3 kg). Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 123.2 kg yang boleh digunakan 750,000 penagih.

"Nilai keseluruhan rampasan dalam kedua-dua serbuan berkenaan adalah RM4.5 juta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Yahaya berkata, suspek yang juga penganggur itu dipercayai aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu.

"Modus operandi suspek adalah menjadikan rumah yang mempunyai pengawal keselamatan serta kenderaan mewah sebagai stor simpanan dadah sebelum ia diedarkan untuk pasaran tempatan.

"Kami percaya suspek menyewa rumah berkenaan RM2,500 sebulan untuk menyimpan dadah itu di kediaman terbabit.

"Semakan dilakukan mendapati suspek berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah serta dadah dan hasil ujian saringan air kencing dilakukan juga didapati negatif dadah," katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Usaha mengesan individu lain yang terbabit dalam kegiatan berkenaan sedang giat dijalankan.

"Kami berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang kepada pihak berkuasa bagi mengekangnya dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur bandaraya yang selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 2:51 PM