Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Simpan dadah dalam kereta yang diparkir di kondominium mewah kini menjadi modus operasi terbaru sindiket pengedaran dadah.

'Stor bergerak' itu dipercayai digunakan sebagai tempat simpanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa yang menjalankan serbuan di lokasi tertentu.

Terbaru, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju merampas 45 kilogram (kg) ganja yang dianggarkan bernilai RM115,490, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, serbuan jam 1.40 tengah hari itu dibuat di sebuah kondominium mewah di Jalan Ampang, di sini.

Menurutnya, polis menahan dua lelaki yang mendiami kondominium itu dan pemeriksaan lanjut menemui ganja, ekstasi dan syabu di dalam rumah berkenaan.

Beliau berkata, seorang lelaki yang disyaki orang kanan sindiket pengedaran dadah sama ditahan di Sentul pada hari yang sama.

"Susulan daripada pemeriksaan itu, polis dibawa ke tempat parkir kondominium berkenaan dan menemui 44kg ganja mampat disorok di dalam tempat simpanan barang Nissan Sentra.

"Polis percaya suspek kini tidak menyimpan dadah di rumah namun memilih kereta untuk dijadikan stor bergerak.

"Ini memudahkan bahan terlarang itu disorok dan jika serbuan dijalankan, ia menyukarkan polis untuk menemui dadah yang disimpan," katanya dalam sidang media di IPD Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Katanya, suspek berusia 31 hingga 32 tahun ditahan reman selama lima hari sehingga 11 September untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, polis percaya sindiket ini aktif sejak November tahun lalu dan menjadikan penagih dan pengunjung kelab malam sekitar Lembah Klang sebagai pelanggan.

"Semua suspek yang memiliki rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah akan disiasat mengikut Seksyen 39B Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ashari berkata, sindiket dadah kini semakin aktif sejak pusat hiburan kembali beroperasi semula.

Katanya, ini antara cabaran polis untuk memastikan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah dapat dibanteras sebaik mungkin.

"Polis memang ada maklumat kegiatan pengedaran dadah mengalami peningkatan sejak kelonggaran operasi diberikan kepada pusat hiburan.

"Polis sentiasa memantau keadaan ini agar masalah ini dapat dibanteras sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 5:41 PM
ASHARI (tengah) bersama pegawai penyiasat menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas. FOTO Aizuddin Saad
ASHARI (tengah) bersama pegawai penyiasat menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas. FOTO Aizuddin Saad