AZMI (tengah) menunjukkan pistol dan dadah yang dirampas. FOTO Aswadi Alias
AZMI (tengah) menunjukkan pistol dan dadah yang dirampas. FOTO Aswadi Alias
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang turut terbabit dengan kumpulan kongsi gelap susulan penahanan empat suspek dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun di kawasan tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Bukit Segambut, di sini, kelmarin.

"Dalam serbuan itu, kami merampas 3,000 pil ekstasi bernilai RM60,000 serta wang tunai RM500 yang ditemui di dalam kenderaan di kawasan letak kereta terbabit.

"Dalam serbuan kedua pula, kami menahan seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan letak kereta di sebuah kompleks beli-belah di Dutamas.

"Kami merampas 10.14 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM25,350 yang ditemui di dalam kereta dinaiki suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Azmi berkata, polis kemudian menahan dua lelaki masing-masing berusia 29 dan 31 tahun dalam serbuan ketiga di sebuah unit kondominium di Ampang, Selangor, semalam.

"Kami merampas 142.02 kg dadah jenis ganja bernilai RM355,050, 15.12 kg dadah jenis syabu (RM544,320) dan 785 gram dadah jenis heroin 'base' (RM71,000) selain satu pistol jenis revolver bersama sembilan peluru hidup.

"Keseluruhan rampasan dadah yang dirampas bernilai RM1.06 juta dan boleh dibekalkan kepada 300,000 penagih dadah," katanya yang memaklumkan bekalan ganja itu dipercayai diperoleh dari utara Semenanjung.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak lima bulan lalu dengan menjadikan kondominium yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Semakan dilakukan mendapati suspek berkenaan turut terbabit dengan kumpulan kongsi gelap dipercayai Geng 36 dan Geng 24.

"Tiga daripada empat suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah berkaitan pergaduhan. Selain itu, dua suspek juga mempunyai rekod berkaitan kes bunuh.

"Pistol jenis revolver serta sembilan peluru hidup yang dirampas dalam serbuan itu dipercayai digunakan oleh sindiket ini untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah serta kongsi gelap," katanya.

Menurutnya, hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan terhadap keempat-empat suspek mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis ganja.

"Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 12 Julai ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjatapi 1960," katanya.

Menurutnya, Polis Kuala Lumpur sedang mengatur beberapa tindakan aktif bagi memerangi dadah di ibu negara.

"Namun kebelakangan ini, kita mendapati kegiatan pengedaran dadah di Kuala Lumpur dilakukan pihak yang juga terbabit dalam aktiviti kongsi gelap.

"Dalam beberapa minggu ini, kami turut merampas beberapa pistol daripada kumpulan kongsi gelap yang aktif melakukan pengedaran dadah.

"Bermula awal tahun ini hingga hari ini (semalam), sebanyak lima senjata api pelbagai jenis dirampas," katanya.

Beliau berharap masyarakat dapat membantu menyalurkan maklumat bagi membolehkan polis melakukan tangkapan dan rampasan dalam usaha memerangi aktiviti penyalahgunaan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 5:25 PM