SALAHUDDIN. FOTO arkib NSTP
SALAHUDDIN. FOTO arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluaskan insiatif Rahmah dalam sektor perbankan dan insurans bagi membolehkan orang ramai menikmati faedahnya.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, setakat ini sebuah syarikat insurans menyambut baik perkara itu dan pihaknya akan mengadakan libat urus dalam masa terdekat.

"Pertama sekali yang respon adalah Etiqa Insurance. Saya telah minta pegawai libat urus, tengok macam mana kita boleh jayakan insurans Rahmah ini sama ada kenderaan, perumahan, hartanah dan seumpamanya.

"Dengan perbankan, saya minta Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) bantu saya dan mungkin dalam minggu depan kita akan adakan libat urus dengan perbankan pula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kenduri Menu Rahmah di Dewan Serbaguna, Parlimen hari ini.

Salahuddin juga yakin ada lagi syarikat lain mengikut jejak langkah seperti Etiqa Insurance.

"Macam menu juga. Bila satu syarikat sudah mula, dia akan jadi kesan domino. Kita tengok dulu apa tawaran terbaik daripada Etiqa dan saya rasa syarikat insurans lain akan ikut. Jadi kita tunggu berita baik ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 3:35 PM