Redzuan Muharam


Balakong: Bekalan minyak masak paket dan telur ayam di Selangor menunjukkan trend pemulihan dan bertambah baik.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pihaknya juga tidak menerima aduan kewujudan kegiatan menyembunyikan bekalan barangan keperluan itu setakat ini.

Menurutnya, pihaknya akan terus memantau bekalan barangan keperluan di pasar bagi memastikan ia mencukupi terutama pada musim perayaan.

Katanya, beberapa inisiatif lain turut diambil dalam memastikan peniaga menjual barangan harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina yang berkuat kuasa 15 hingga 29 Januari depan.

"Selaras dengan berkuat kuasanya skim itu, pemeriksaan dilakukan bagi membuat tinjauan tahap kesediaan dan kerjasama pematuhan peniaga di bawah penguatkuasaan skim.

"Pada masa sama, pasukan pemeriksaan berpeluang mendekati peniaga dan mewujudkan libat urus serta advokasi bersama peniaga.

"Libat urus dan advokasi itu dapat membantu peniaga memahami dan mematuhi penguatkuasaan skim serta perundangan yang dikuatkuasakan," katanya selepas melakukan tinjauan dan pemeriksaan di AEON Cheras Selatan, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Zuhairi, hasil pemeriksaan dilakukan mendapati premis itu mengikut skim harga ditetapkan.

"Prestasi premis baik dan diharap ia dapat meringankan kos perbelanjaan pengguna sepanjang tempoh perayaan. Pengguna digalakkan membuat pembelian terancang dan tidak panik,.

"Ada lapan barangan di bawah SHMMP antaranya daging khinzir yang masih mengikut harga kawalan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zuhairi berkata, tiada aduan membabitkan kebimbangan pengguna di Selangor berkaitan barangan keperluan dan makanan yang diimport dari China susulan wabak Covid-19.

"Tiada aduan diterima berkaitan barangan diimport dari China. Kita yakin kementerian berkenaan bertanggungjawab dalam hal itu," katanya.

Periksa dan advokasi kepada peniaga dan pengguna sepanjang sekim harga maksimum musim perayaan tahun baru cina oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Selangor di Aeon Mall Selatan, Cheras. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Periksa dan advokasi kepada peniaga dan pengguna sepanjang sekim harga maksimum musim perayaan tahun baru cina oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Selangor di Aeon Mall Selatan, Cheras. FOTO AMIRUDIN SAHIB

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 5:16 PM