GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Simunjan: Kerajaan Negeri Sarawak tidak berhasrat memberikan bantuan khas kewangan Aidilfitri seperti yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan atau negeri lain.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, adalah tidak adil jika bantuan khas itu diberikan ketika perayaan tertentu sahaja sedangkan banyak lagi perayaan disambut masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

Sehubungan itu, katanya, beliau memutuskan untuk memberi bantuan khas kewangan pada hujung tahun ketika ramai ibu bapa memerlukan wang untuk membeli keperluan sekolah anak mereka.

"Kita tidak mahu ini menjadi budaya setiap kali kita menyambut perayaan kerana banyak perayaan kita raikan selain Aidilfitri seperti Hari Gawai, Tahun Baru Cina dan Krismas.

"Kita mesti adil dalam semua perayaan dan mahu masyarakat pelbagai kaum menikmati bantuan itu bersama-sama dan memanfaatkan bantuan itu untuk perkara yang lebih penting," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Cek Pampasan Bagi Projek Masterplan Mini Isthmus Gedong di Dewan Masyarakat Gedong di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, beliau berbincang dengan Kabinet Sarawak dan pegawai perkhidmatan awam negeri berhubung isu bantuan khas kewangan sempena Aidilfitri itu.

"Apa yang kita putuskan ialah, galakkan rakyat supaya berbelanja dengan bijak ketika menyambut perayaan kerana jika kita memberikan bantuan tunai wang itu habis untuk perayaan sahaja.

"Yang paling penting ialah kita harus memberi keutamaan kepada keperluan persekolahan anak-anak. Sebab itu kerajaan Sarawak memberi bonus setiap hujung tahun (satu setengah bulan gaji atau minimum RM2,000) kerana dengan cara itu, semua masyarakat akan merasa dan meringankan beban untuk menyediakan keperluan sekolah," katanya.

Menurutnya lagi, jika keadaan ekonomi semakin baik, beliau yakin kerajaan Sarawak mampu memberi lebih banyak bantuan kewangan berbanding jumlah bonus yang diagihkan tahun lalu.

"Misalnya, jika kita beri minimum RM2,000 ditambah dengan bantuan khas perayaan sebanyak RM700, sudah tentu jumlah yang kita akan berikan pada hujung tahun menjadi sekurang-kurangnya sebanyak RM2,700," katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, beliau mengagihkan pampasan tanah yang terbabit dalam projek pembangunan Mini Isthmus Gedong kepada 82 penerima berjumlah RM5.2 juta.

Menurutnya, menerusi projek itu, Gedong akan dilengkapi dengan pelbagai pelbagai kemudahan infrastruktur selaras dengan matlamat untuk menjadikan kawasan itu sebagai hab pertanian moden Sarawak.

"Projek ini akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS2030) dan menerusinya, kita akan membangunkan Gedong dan Simunjan sebagai hab pengeluaran makanan dengan teknologi moden.

"Sebab itu, kita bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Swinburn untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan pertanian moden di Gedong dan Simunjan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 2:57 PM