ABANG Johari menyerahkan lembu korban kepada ketua masyarakat Gedong di Masjid Al-Kawthar. FOTO Mohd Roji Kawi
ABANG Johari menyerahkan lembu korban kepada ketua masyarakat Gedong di Masjid Al-Kawthar. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Simunjan: Tan Sri Abang Johari Abang Openg mahu cadangan untuk memperbaharui Perjanjian Malaysia tidak disebut lagi kerana ia hanya akan mengundang pihak tertentu mempersoalkan penubuhan Persekutuan Malaysia 59 tahun lalu.

Premier Sarawak itu berkata, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah asas penubuhan sebuah negara dan sudah dipersetujui pemimpin terdahulu.

Menurutnya, Sarawak menuntut beberapa perkara yang sudah terhakis di dalam MA63 namun ia sama sekali tidak bermaksud untuk mempertikaikan semua yang sudah termaktub di dalam perjanjian itu.

"Apa yang dicadangkan oleh Tok Mat (Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hassan) sepatutnya tidak harus disebut.

"Ini kerana jika ia dilaksanakan bermakna semua perjanjian terdahulu itu tidak sah sekali gus penubuhan Persekutuan Malaysia dipersoalkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Lembu Korban Dewan Undangan Negeri (Dun) Gedong, di Masjid Al-Kawthar, Gedong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Mengulas lanjut, Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gedong berkata, tuntutan yang dibuat Sarawak hanyalah untuk memastikan syarat-syarat yang termaktub di dalam MA63 serta hasil ketetapan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) harus dilaksanakan, bukannya membuat perjanjian baharu.

Ia termasuk meneliti semula pemberian geran khas kepada Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, rundingan bagi menuntut perkara itu sedang berjalan dan Kerajaan Persekutuan sudah meminta Sarawak mengemukakan nama wakil di dalam IGC untuk ditempatkan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Kalau Sarawak ada wakil di dalam LHDN, kita tahu berapa sebenarnya pendapatan dari negeri ini (yang dibawa ke Persekutuan) sekali gus membolehkan kita menuntutnya semula (dalam bentuk pemberian khas).

"Ini tidak tidak bermaksud Sarawak memberi tekanan kepada Kerajaan Persekutuan kerana kita juga memahami kedudukan kewangan negara ketika ini," katanya sambil mengulangi saranan agar tiada lagi usul untuk membuat Perjanjian Malaysia yang baharu.

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika berucap pada Konvensyen BN Sabah mencadangkan agar kepimpinan BN negeri itu mengusulkan Perjanjian Malaysia baharu sebagai langkah lebih konkrit ke arah merealisasikan hak-hak dan tuntutan negeri sebagaimana yang termaktub dalam MA63.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 6:45 PM