KEADAAN paip yang selesai dibaik pulih di LRA Teluk Kepayang, baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP
KEADAAN paip yang selesai dibaik pulih di LRA Teluk Kepayang, baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kerajaan Perak menafikan kejadian pergerakan tanah di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Teluk Kepayang di Bota yang mengakibatkan gangguan bekalan air di Manjung dan Perak Tengah sejak 31 Mac lalu, berpunca daripada aktiviti perlombongan pasir sungai di Sungai Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ia memandangkan tiada aktiviti mengorek pasir di persekitaran rumah pam Lembaga Air Perak (LAP) dekat Sungai Perak yang dapat menjejaskan sambungan paip air.

Sebaliknya, beliau berkata, pergerakan tanah di Sungai Perak mengakibatkan benteng sungai pecah seterusnya memberi tekanan kepada paip air.

"Kalau benar ada aktiviti menggali pasir, sudah tentu kita dapat kesan dan kenal pasti dari awal, sebaliknya insiden tanah rebak berkenaan berlaku tanpa diduga," katanya ketika ditemui pada program Meriah Beraya peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat di sini, hari ini.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter @stihwa yang dipercayai aktivis alam sekitar memuat naik ciapan mendakwa punca paip air mentah di LRA Teluk Kepayang pecah disebabkan aktiviti mengorek pasir di sepanjang Sungai Perak memandangkan arus sungai akan menarik pasir dari tempat lain untuk memulihkan kembali tempat pasir yang dikorek itu.

Media sebelum ini melaporkan bekalan air yang menjejaskan hampir 80,000 akaun pengguna di dua daerah terbabit sejak 31 Mac itu pulih sepenuhnya Khamis lalu selepas LRA Teluk Kepayang sudah beroperasi sepenuhnya.

Mohammad Nizar memberikan jaminan gangguan bekalan air tidak berulang terutama pada sambutan Aidilfitri ini selain sudah bersedia dengan langkah mitigasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 12:36 PM