Muhamad Lokman Khairi

Parit: Bekalan air bagi 79,360 akaun pengguna di daerah Perak Tengah dan Manjung bakal pulih 50 esok.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin ketika melawat kerja pembaikan paip di Rumah Pam Air Teluk Kepayang, Bota di sini, hari ini.

Jumaat lalu, kira-kira 400,000 isi rumah di dua daerah terbabit mengalami masalah bekalan air apabila berlaku pergerakan tanah yang mengakibatkan paip pecah mengakibatkan operasi Loji Rawatan Air Teluk Kepayang terpaksa dihentikan.

Menurut Mohammad Nizar, kerja pemasangan dan penyambungan semula paip dalam tanah di rumah pam itu sudah selesai hari ini.

"Pembaikan paip yang pecah di dalam tanah sebesar 1200 millimeter (mm) diameter selesai jam 2 pagi tadi. Jadi hari ini bekalan air sudah pulih sebanyak 30 peratus.

"Jika lihat dari segi kerja awalan yang sudah disempurnakan, esok barangkali 50 peratus (bekalan air pulih) dapat," katanya.

Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada operator air dari negeri lain yang bertindak pantas menghantar lori tangki air ke lokasi terjejas di daerah Manjung dan Perak Tengah.

"Hasil gabungan usaha operator melalui usaha sama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), SPAN telah arahkan operator air daripada negeri lain untuk membawa tangki air ke Perak bagi menyalurkan bantuan sementara.

MOHAMMAD Nizar (kiri) meninjau keadaan paip dalam Rumah Pam Air Teluk Kepayang. FOTO Muhamad Lokman Khairi
MOHAMMAD Nizar (kiri) meninjau keadaan paip dalam Rumah Pam Air Teluk Kepayang. FOTO Muhamad Lokman Khairi

"LAP juga meletakkan 48 unit tangki statik selain bantuan lori tangki air daripada Pengurusan Air Selangor (Air Selangor), Ranhill SAJ (RSAJ), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Syarikat Air Melaka Bhd. (SAMB), Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB), Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP)," katanya.

Ditanya mengenai sekolah di daerah Manjung yang terpaksa mengambil cuti hari ini kerana masalah bekalan air, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri akan kenal pasti sekolah terbabit dan LAP akan diarahkan bagi menghantar sejumlah lori tangki air mengikut keperluan.

Turut hadir, Pengurus Besar LAP, Datuk Ishak Abd Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing; ADUN Astaka, Jason Ng Thien Yeong dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Syamsul Hazeman Md Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 2:19 PM