LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Pejabat Kesihatan Daerah Kluang membuka kertas siasatan di bawah Akta Makanan 1983 berhubung kes kematian pasangan warga emas yang meninggal dunia selepas makan ikan buntal goreng.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sudah menjalankan siasatan di lapangan termasuk mengenalpasti pembekal, pemborong dan penjual yang terbabit di dalam urusniaga ikan beracun itu.

Katanya, JKNJ mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan Jabatan Perikanan dan beberapa universiti tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang perikanan serta toksin atau racun untuk mendapatkan penyelesaian secara menyeluruh.

"Kerajaan Negeri Johor dan JKNJ mengambil maklum akan satu lagi kematian daripada keracunan makanan ikan buntal di Kluang.

"Hari ini sekitar jam 5,20 pagi, pesakit dikesan dalam keadaan tidak responsif ketika jururawat sedang menguruskan pesakit lain di Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom (HEBHK)

"Bantuan kecemasan diberikan serta-merta dengan kehadiran Pegawai Perubatan selama 30 minit sebelum beliau diisytiharkan meninggal dunia pada jam 6.20 pagi," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, terdahulu mangsa adalah pasangan Kes Indeks yang sama-sama menerima rawatan kecemasan Jabatan Kecemasan HEBHK Kluang, 5 petang pada 25 Mac lalu dan ditempatkan di Unit Penjagaan Intensif (ICU).

"Pesakit dipindahkan ke wad perubatan pada Rabu lalu dalam keadaan sedar dengan tanda vital pesakit stabil.

"Pesakit masih perlu bernafas dengan bantuan 'Face Mask' 5L/min dan diberi makanan melalui Ryle's Tube," katanya.

Beliau berkata, jenazah telah diserahkan kepada Unit Forensik HEBHK sebelum dilepaskan kepada waris pada hari yang sama untuk tujuan pengurusan jenazah.

Sementara itu, Tian Soon berkata, kerajaan Johor dan JKNJ meminta agar warga Johor untuk sentiasa berhati-hati di dalam memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko yang telah diketahui.

"Maklumat berkaitan ikan buntal ini juga telah dikongsikan di laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia pada 29, 31 Mac 2023 dan 1 April 2023.

"Saya juga mengingatkan agar warga Johor untuk sentiasa berhati-hati di dalam memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 9:29 PM