Izz Laily Hussein

Johor Bahru : Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) masih menunggu laporan makmal yang dijangka diperoleh antara dua atau tiga minggu lagi, sebelum kertas siasatan bagi kes kematian pasangan warga emas yang memakan ikan buntal goreng dilengkapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, sebaik kertas siasatan lengkap kelak, ia akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi memutuskan sama ada pihak yang terbabit khususnya pembekal ikan berkenaan didakwa atau sebaliknya.

"Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat sudah menjalankan siasatan, malah polis juga telah membuka kertas siasatan kes berkenaan.

"JKNJ bertanggungjawab menyelesaikan kertas siasatan... sama ada didakwa atau sebaliknya, kita serahkan kepada pihak DPP.

"Kita juga sedang menunggu laporan makmal yang mungkin dalam dua atau tiga minggu lagi akan diperoleh, " katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa MCA Johor bersama Pengamal Media di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

Menurut Ling, JKNJ kini juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan kepakaran dari universiti mengenai hal perundangan dalam kes berkenaan.

"Kita perlu berbincang mengenai beberapa akta sedia ada sama ada memadai untuk kita ambil tindakan mendakwa pembekal ikan berkenaan," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sudah merampas ikan buntal yang dijual pembekal untuk diambil sampelnya bagi tujuan siasatan.

Beliau berkata, orang awam turut dinasihatkan supaya tidak membeli ikan buntal yang bertujuan untuk dijadikan makanan.

"Buat masa sekarang, kita hanya boleh menasihati orang awam supaya tidak membeli ikan jenis buntal ini dan dijadikan makanan.

"Ikan buntal ini kadang-kala susah ditemui di pasaran, tetapi jika ada, kita nasihatkan supaya tidak membelinya untuk dijadikan makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 9:11 PM