Ikan buntal. FOTO ARKIB NSTP.
Ikan buntal. FOTO ARKIB NSTP.
BERNAMA

Putrajaya: Ikan buntal yang mengandungi toksin berbahaya tidak dibenarkan dijual mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, larangan khusus mengenai penjualan ikan buntal sudah ditetapkan mengikut Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972.

Beliau menegaskan Seksyen 13 Akta Makanan 1983 telah menerangkan dengan jelas larangan penjualan apa-apa makanan yang mengandungi atau di atasnya terdapat apa-apa bahan yang beracun, berbahaya atau sebaliknya memudaratkan kesihatan.

"Oleh itu, ikan buntal yang mengandungi toksin berbahaya tidak dibenarkan dijual," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Kenyataan tersebut berhubung respons media susulan laporan seorang warga emas maut di Kluang, Johor, Sabtu lalu, manakala suaminya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang, akibat keracunan selepas memakan ikan buntal.

Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan data Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM) dari 1985 hingga Mac ini, terdapat 58 kes keracunan ikan buntal dilaporkan melibatkan 18 kematian.

Katanya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (FSQD) sudah menyediakan pelbagai bahan pendidikan sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai toksin berbahaya terkandung di dalam ikan buntal.

"KKM akan terus mendidik orang ramai tentang keselamatan makanan termasuk bahaya memakan ikan buntal," katanya.

Menurutnya, tinjauan yang dijalankan FSQD pada 2019 menunjukkan sebanyak 86 peratus responden terdiri daripada orang awam, penjual ikan, nelayan dan tukang masak tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang bahaya memakan ikan buntal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 5:26 PM