GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Nohw


Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM),di Johor Bahru dijadikan hospital sementara Covid-19 di Johor, berkuat kuasa semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sudah memulakan operasi di hospital sementara itu bagi menempatkan pesakit positif Covid-19.

“Bermula semalam, JKNJ sudah memulakan operasi hospital sementara di ILKKM, Johor Bahru bagi menempatkan pesakit positif Covid-19 yang mempunyai simptom gejala ringan.

“Institut berkenaan boleh menempatkan seramai 600 orang pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara langsung di Facebook rasmi kerajaan Johor, hari ini.

Pada 25 Mac lalu, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang dijadikan sebagai Hospital Covid-19 di negeri ini berikutan peningkatan kes wabak Covid-19.

Hospital Permai, di sini,pula dijadikan hospital utama bagi merawat kes positif Covid-19 di negeri ini sejak pertengahan Februari lalu.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, JKNJ melaporkan penambahan 19 kes baharu Covid-19 semalam, menjadikan jumlah sebanyak 368 kes positif wabak berkenaan di negeri ini.

“Namun tiada kes kematian baharu direkodkan bagi Johor semalam,” katanya.

Mengulas berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Simpang Renggam, beliau berkata, kerajaan Johor juga sudah mengagihkan penghantaran kit makanan ke 11 lokasi terbabit mengikut jadual yang diselaras Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Daerah Kluang.

“Ia membabitkan Kampung Parit Ghani, Kampung Parit Talibek, Kampung Parit Basri, Kampung Ibrahim Majid, Bandar Baru Ibrahim Majid, Kampung ParitSalman, Kampung Parit Penghulu, Kampung ParitHasan, Taman Desa, Kampung Parit Salam dan Kampung Paya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Vidyananthan berkata, purata peratusan pematuhan PKP di seluruh Johor semalam meningkat sedikit kepada 97.02 peratus, berbanding kelmarin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 11:11 AM