Mohd Amin Jalil


Seremban: Kegiatan ketirisan dan penyelewengan menjadi penyumbang utama menyebabkan berlakunya isu kekurangan bekalan minyak masak peket bersubsidi di pasaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, berkata ketika ini KPDN mengeluarkan sebanyak 60 juta peket sebulan.

"Itu kuota kita iaitu 60 juta peket sebulan dan sebenarnya ia mencukupi untuk keperluan pengguna, tapi apabila berlaku ketirisan atau kegiatan penyelewengan mengakibatkan berlaku kekurangan dan keadaan orang ramai tidak jumpa (di pasaran).

"Bagaimanapun pihak penguat kuasa kita sememangnya sentiasa turun padang dan sepanjang bulan puasa setakat ini, kami sudah buat Op Pantau dengan memeriksa sebanyak 30,000 premis di seluruh negara.

"Kami akan sentiasa memastikan tidak berlaku, semua perkara tidak diingini seperti ketirisan dan penyelewengan barang-barang kawalan ini," katanya tadi.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, melancarkan Jualan Rahmah Peringkat Negeri Sembilan di Family Store Sikamat, di sini.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, kementerian akan memastikan semua barangan keperluan harian pengguna berada dalam keadaan mencukupi dipasaran selain harganya terkawal.

"Ia termasuk juga memastikan tiada berlaku kenaikan harga barangan secara mendadak atau luar biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 3:47 PM