FUZIAH (kanan) memotong riben ketika majlis pelancaran kedai kek usahawan di bawah kementerian itu di Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya
FUZIAH (kanan) memotong riben ketika majlis pelancaran kedai kek usahawan di bawah kementerian itu di Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya
Khairulmizan Yahya

Kuantan: Orang ramai tidak perlu bimbang kerana isu kekurangan bekalan telur ayam di pasaran hanya fenomena sementara dan bakal pulih dalam tempoh enam bulan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, kerajaan sudah mengambil langkah bersesuaian bagi mengatasi masalah itu.

Menurutnya, antara keputusan segera dibuat kerajaan adalah membenarkan import telur bagi menstabilkan semula bekalan di negara ini.

"Sebenarnya dalam negara kita ini, ketiadaan (bekalan) telur adalah fenomena sementara dan sekarang kita mengatasi kekurangan dengan mengimport telur untuk memastikan bahawa jumlah (bekalan) cukup dalam pasaran.

"Kita (rakyat Malaysia) ini banyak menggunakan telur, purata satu hari 32 juta, maksudnya satu orang makan sebiji telur, jadi kalau ada yang tak makan (telur) dia boleh 'cover' baliklah buat mereka (pengusaha) yang buat kuih dan sebagainya," katanya dalam sidang media hari ini.

Fuziah berkata, kerajaan juga akan memastikan telur ayam yang diterima selamat daripada penyakit dan menepati piawaian ditetapkan, selain protokol serta tatacara ditetapkan dipatuhi tanpa kompromi.

Dalam pada itu, Fuziah turut memberitahu kekurangan bekalan telur di pasaran dapat diselesaikan selewat-lewatnya enam bulan lagi.

"Apa yang tak cukup sekarang ini dalam 14 peratus, kita import dan mungkin mengambil masa dalam enam bulan, lepas itu InsyaAllah kita dapat stabilkan balik bekalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 4:25 PM