Baharom Bakar

Permaisuri: "Kami beberapa kali berteriak meminta pengunjung yang masih mandi naik kerana melihat air sungai berbuih menandakan akan berlaku kepala air," kata Sulaiman Ruslan, 43, peniaga air di Lata Ulu Kasar, Lata Payung di sini.

Sulaiman yang berasal dari Kampung Kerbau Menyusut di sini, kepala air menyebabkan kira-kira 30 pengunjung, termasuk 13 kanak-kanak nyaris dihanyutkan arus deras dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

Katanya, sebelum kejadian dia dan beberapa penduduk kampung yang berniaga air di atas tebing sungai berkenaan menyedari air sungai berubah warna air dan berbuih.

"Saya dapati ada antara pengunjung masih mandi bersama anak kecil selain sedang membakar ayam di atas batu berhampiran sungai.

"Selepas melihat warna air sungai berubah dan berbuih serta arus mulai deras, saya bersama beberapa penduduk kampung meminta semua pengunjung naik ke atas tebing," katanya.

Sulaiman berkata, selang lima minit selepas bersama penduduk kampung mengarahkan pengunjung naik ke atas tebing, air sungai bertukar deras menyebabkan lebih 30 pengunjung terperangkap.

"Saya dan beberapa rakan dengan bantuan pemandu kenderaan pacuan empat roda melemparkan tali ke arah mangsa yang masih berada dalam air.

"Semua mangsa berjaya mengharungi air deras dengan berpegang pada tali yang digunakan kenderaan pacuan empat roda untuk menarik kenderaan," katanya.

Dalam kejadian itu semua mangsa termasuk kanak-kanak berjaya diselamatkan penduduk kampung bagaimanapun sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz dan kereta Proton Savvy dihanyutkan sejauh hampir 1.5 kilometer.

Sulaiman berkata, kejadian kepala air di kawasan perkelahan itu adalah yang pertama kali berlaku.

"Saya sempat menyelamatkan empat kanak-kanak yang terperangkap dalam kereta ketika kenderaan yang diletakkan berhampiran gigi air mula dihanyutkan air deras," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 4:04 PM
ROSLAN (kiri) bersama rakannya melihat kereta jenis Perodua Aruz dihanyutkan arus sejauh kira-kira satu km daripada kawasan tempat letak kereta dalam kejadian kepala air di Ulu Kasar, Lata Payung, Setiu. FOTO Baharom Bakar
ROSLAN (kiri) bersama rakannya melihat kereta jenis Perodua Aruz dihanyutkan arus sejauh kira-kira satu km daripada kawasan tempat letak kereta dalam kejadian kepala air di Ulu Kasar, Lata Payung, Setiu. FOTO Baharom Bakar