Ahmad Ismail


Segamat: Polis akan meningkatkan pemantauan penjualan mercun dan bunga api di bazar Ramadan di daerah ini.

Ketua Polis Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, sebagaimana kebiasaan, apabila Ramadan dan hari raya, mercun mendapat permintaan tinggi dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa.

Bagaimanapun katanya, hanya beberapa kategori mercun saja yang diluluskan dan boleh dijual.

"Saya sudah mengarahkan semua anggota meningkatkan pemantauan terutama di Bazar Ramadan kerana dikhuatiri akan ada usaha menjual mercun dilarang ke daerah ini.

"Pada masa sama, pasukan khas juga sudah ditubuhkan untuk menangani perkara ini dan ia bukan saja di Bazar Ramadan malah turut akan melakukan tinjauan dan pemerhatian di premis perniagaan lainnya," katanya ketika melawat bazar Ramadan di Bandar Utama, di sini, hari ini.

MUHAMMAD Hanaffi melakukan rondaan di bazar Ramadan di Bandar Utama Segamat. FOTO Ahmad Ismail
MUHAMMAD Hanaffi melakukan rondaan di bazar Ramadan di Bandar Utama Segamat. FOTO Ahmad Ismail

Hadir sama Ketua Polis Balai Segamat (OCS) Inspektor Muhammad Hanaffi Ghazali.

Mengulas lanjut, Ahmad Zamry berkata, pemantauan jualan mercun secara dalam talian turut dibuat sekiranya ada laman web yang dikhuatiri diguna pakai sindiket jualan mercun.

"Ada di antaranya yang ingin menarik perhatian orang ramai, menjual mercun dan bunga api terlarang serendah RM2 dengan promosi meletakkan perkataan 'Rahmah' menyamai konsep diperkenalkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 5:20 PM