ANTARA penjual mercun dan bunga api di Bazar Ramadan Paroi Seremban. -Foto ADZLAN SIDEK
ANTARA penjual mercun dan bunga api di Bazar Ramadan Paroi Seremban. -Foto ADZLAN SIDEK
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


DI SEBALIK kesibukan peniaga menjual makanan, ada pihak dilihat mengambil kesempatan dengan menjual mercun di tapak Bazar Ramadan Paroi, Seremban.

Tinjauan NSTP mendapati sekurang-kurangnya lima lelaki berniaga mercun di tapak bazar Ramadan berkenaan, malah tidak segan silu meraih perhatian pelanggan supaya membeli bahan terlarang itu sama seperti yang dilakukan peniaga makanan.

Pemerhatian mendapati antara yang dijual adalah mercun bola, mercun roket, mercun bom, naga, ketupat, telur dan bunga api yang dijual antara RM5 hingga RM60.

Pengunjung bazar, Haris Abu Bakar, 32 berkata, aktiviti penjualan mercun makin berleluasa di bazar Ramadan seolah-olah individu terbabit tidak takut dengan pihak berkuasa.

“Dua minggu lalu saya perhatikan hanya seorang peniaga menjual mercun di sini, tapi hari ini sudah ada lima orang. Saya kesal kerana peniaga ini langsung tidak malu atau rasa bersalah menjual bahan larangan itu,” katanya.

Haris berkata, beliau berharap pihak berkuasa berkaitan dapat mengambil tindakan segera membendung penjualan mercun ketika musim perayaan ini.

Sementara itu Ketua Polis Negeri Sembilan yang dihubungi memaklumkan pihaknya memandang serius aktiviti penjualan mercun dan mengambil tindakan membanterasnya.

Beliau kemudiannya mengarahkan beberapa anggota ke tapak bazar Ramadan berkenaan sekali gus merampas mercun dan bunga api di sekitar Paroi.

“Peniaga terbabit tidak mempunyai permit dan menjual mercun atau bunga api tidak mengikut spesifikasi yang dikeluarkan pihak polis.

“Kita akan membuat pemantauan berterusan di seluruh negeri ini untuk membanteras penjualan bahan larangan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 12:59 PM