Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) menggunakan sistem kupon bagi mengelakkan suasana sesak di bazar Ramadan di bawah seliaannya sekali gus mampu mengawal jumlah pengunjung.

Datuk Bandar MBIP Datuk Mohd Haffiz Ahmad, berkata, sistem itu dipraktikkan di kesemua 11 tapak bazar Ramadan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, selain sembilan bazar Ramadan swasta di kawasan berkenaan.

Katanya, MBIP juga menempatkan empat hingga lima penguat kuasa bersama sukarelawan bagi menjaga kesemua pintu keluar masuk.

Ia bagi memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain pengagihan kupon.

"MBIP menguatkuasakan sistem kupon di semua 20 tapak bazar Ramadan yang membabitkan 1,050 petak perniagaan.

"Di bazar Ramadan Nusa Perintis di sini, ada 122 gerai dengan 244 kupon kemasukan sahaja disediakan.

"Jika kupon sudah habis diagihkan, pengunjung perlu menunggu sehingga ia dikembalikan sebelum mereka dibenarkan memasuki tapak bazar.

"Menerusi sistem ini, kita dapat mengawal sepenuhnya jumlah pengunjung untuk elak kesesakan di tapak bazar malah penguat kuasa juga diarahkan membuat pemantauan di tapak niaga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau bazar Ramadan Anjung serta bazar Ramadan Nusa Perintis di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan di bazar Ramadan Nusa Perintis mendapati, penguat kuasa MBIP mengagihkan kupon kepada pengunjung ketika mereka memeriksa suhu badan dan mengimbas aplikasi MySejahtera.

Kon dan garisan kuning juga diletak di tengah tapak bazar sebagai penanda laluan keluar masuk.

DATUK Mohd Haffiz Ahmad membuat pemantauan di Bazar Ramadan Nusa Perintis, Gelang Patah, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DATUK Mohd Haffiz Ahmad membuat pemantauan di Bazar Ramadan Nusa Perintis, Gelang Patah, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Dalam pada itu, Mohd Haffiz berkata, beliau berpuas hati dengan kepatuhan pengunjung dan peniaga terhadap SOP ditetapkan.

"Namun kita juga ada menegur peniaga supaya menggunakan pelitup muka dengan sempurna dan memakai sarung tangan plastik selain mengingatkan pengunjung supaya melakukan penjarakan fizikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 6:02 PM