ZULKURNEIN (tiga dari kiri) memantau penjualan mercun dan bunga api. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
ZULKURNEIN (tiga dari kiri) memantau penjualan mercun dan bunga api. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Nur Izzati Mohamad


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menubuhkan 15 pasukan khas bagi memantau penjualan mercun dan bunga api seludup di seluruh bazar Ramadan negeri ini.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri Zulkurnein Abdul Rahman berkata, pasukan dianggotai tiga hingga empat penguat kuasa itu juga akan menjalankan pemantauan di pelabuhan.

Katanya, pasukan itu juga akan mengadakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan di gudang serta kedai runcit.

Zulkurnein berkata, inisiatif itu adalah usaha dalam memerangi kegiatan penjualan mercun dan bunga api secara habis-habisan.

“Pasukan khas ditubuhkan ini akan melakukan pemantauan secara bergilir-gilir bermula hari ini hingga 2 Jun dalam memastikan tiada mercun dan bunga api dijual kepada orang awam.

“Jika ada yang masih ingkar, tindakan lebih tegas akan diambil,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Letup di Pejabat Penguatkuasaan JKDM negeri, Butterworth, hari ini.

Terdahulu penguat kuasa kastam ke Bazar Ramadan Seberang Jaya, bagi mengadakan pemantauan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 8:36 PM