Khairy Jamaludin
Khairy Jamaludin
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin menjelaskan meskipun kerajaan ketika pentadbiran lalu berhasrat mengenakan cukai berhubung produk cecair vape, tetapi ia tidak menandatangani warta untuk mengeluarkannya daripada jadual Akta Racun 1952.

Ini kerana pendiriannya dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini, mengatakan satu akta baharu perlu digubal terlebih dahulu bagi memastikan sebarang risiko yang berpunca daripada produk itu dapat diatasi sekiranya pengecualian dibuat.

"Pendirian saya dan KKM sebelum ini, adalah mesti ada akta baharu untuk sambut tindakan itu. Jika tidak ada akta baharu, berlaku lacuna (kelompongan) dalam undang-undang kerana vape tidak dapat dikawal langsung.

"Disebabkan itu kami bawa Akta Kawalan Merokok, tetapi tak sempat diluluskan," katanya menerusi ciapan twitter, malam kelmarin.

Ini berikutan kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).

Pelaksanaan cukai itu diumumkan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan kelmarin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Sementara itu, warta dikeluarkan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menyatakan, tampalan, cecair dan gel nikotin untuk membantu menghentikan tabiat merokok kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

Dalam pada itu, Khairy berkata, kewujudan akta baharu itu membolehkan produk nikotin dalam vape dikecualikan berikutan ada akta yang mengawalnya.

"Namun apabila terbalik, pengecualian diberi sebelum akta baharu, jadi tiada tindakan boleh diambil terhadap penjualan dan pemasaran vape.

"Sekarang free for all (bebas kepada semua). Saya harap KKM membawa Rang Undang-Undang (RUU) kawalan merokok dengan segera untuk menutup lacuna ini demi kesihatan awam," katanya.

Terdahulu, dalam kenyataan, Dr Zaliha dipetik berkata, satu RUU baharu untuk mengawal selia produk dan peranti rokok akan diperkenalkan pada sesi Parlimen akan datang.

RUU berkenaan merangkumi peruntukan yang memastikan kawalan menyeluruh ke atas nikotin dalam cecair dan gel yang digunakan dalam e-rokok dan vape.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 7:02 AM