NV Subbarow menunjukkan produk cecair vape di pasaran yang mengandungi nikotin. FOTO IHSAN CAP
NV Subbarow menunjukkan produk cecair vape di pasaran yang mengandungi nikotin. FOTO IHSAN CAP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerima lebih 10 aduan daripada ibu bapa dan guru yang resah berikutan anak serta pelajar mereka bebas membeli produk vape mengandungi nikotin di pasaran.

Aduan berkenaan diterima sejak 1 April lalu, selepas keputusan kerajaan mengeluarkan nikotin, yang digunakan dalam gel dan cecair untuk e-rokok dan vape, daripada senarai bahan terlarang di bawah Akta Racun 1952.

Pegawai Pendidikan CAP dan Aktivis, NV Subbarow berkata, kini remaja sudah boleh mengunjungi kedai menjual vape bagi membeli produk berkenaan yang mengandungi racun tetapi diisytiharkan sebagai bukan racun.

Katanya, hanya individu di bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan membeli rokok tetapi racun yang kini bukan racun itu terkandung di dalam vape dan terbuka luas kepada remaja serta kanak-kanak.

"Tidak ada logik bagi mengeluarkan nikotin daripada senarai racun tetapi tiada cukai bagi rokok selama tujuh tahun yang lalu.

"Kita mungkin mempunyai bilangan perokok baharu dan meningkat disebabkan harganya yang lebih rendah. Ini tidak baik bagi negara yang sihat dan ia adalah kesilapan yang amat serius ," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Subbarow berkata, tinjauan CAP juga menunjukkan, jumlah perokok dan vape di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti adalah membimbangkan.

Katanya, dengan mengenakan cukai baharu nikotin, kerajaan secara tidak langsung menjadikan industri tembakau lebih untung manakala golongan remaja yang ketagih vape dan e-rokok menjadi golongan yang rugi.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mesti mendengar pandangan berkaitan penggunaan nikotin. Jika tidak, mungkin semakin ramai perokok dan penghisap vape di negara ini.

"Jika kerajaan bertegas bahawa nikotin akan dikenakan cukai, maka rokok juga mesti dikenakan cukai.

"Di Malaysia sudah ada lima juta perokok dan 1.5 juta penghisap vape manakala saringan menerusi program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak) tahun lalu mendapati, 43,000 pelajar dan 341 murid terjebak dengan rokok. Ia bukan jumlah yang baik," katanya lagi.

Sehubungan itu, CAP meminta kerajaan negeri yang mengisytiharkan vape adalah haram supaya tidak membenarkan kanak-kanak mengguna atau membeli nikotin.

"CAP mengucapkan tahniah kepada keputusan Kerajaan Negeri Johor kerana tidak mengikut keputusan Kerajaan Persekutuan yang membenarkan penjualan rokok elektronik itu," katanya.

Terdahulu, jualan vape berkenaan dihalalkan bertujuan mengutip cukai daripada cecair vape yang berkuat kuasa pada 1 April lalu yang mana duti eksais pada kadar 40 sen akan dikenakan bagi setiap mililiter cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik serta vape.

Pengecualian nikotin daripada Akta Racun sebelum meluluskan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok akan menyebabkan kanak-kanak dan remaja mendapat akses tanpa halangan kepada produk vape yang mengandungi nikotin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 11:02 AM