ANGGOTA BBP Shah Alam memujuk dan menenangkan mangsa. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA BBP Shah Alam memujuk dan menenangkan mangsa. FOTO ihsan bomba
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam berjaya menyelamatkan seorang gadis yang cuba terjun dari bangunan kompleks pusat beli-belah di Seksyen 14, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Morni Mamat berkata, bomba menerima panggilan pada jam 11.42 pagi dan sebaik tiba, pasukan mendapati gadis itu berada di bumbung bangunan sambil menangis.

"Anggota mengambil masa kira-kira lima minit untuk memujuk dan menenangkan mangsa yang berumur 20-an sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan seterusnya.

"Siasatan mendapati, mangsa adalah pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) dan bekerja sebagai pembantu butik pakaian di bangunan kompleks beli-belah itu.

"Siasatan juga mendapati mangsa adalah individu sama yang cuba melakukan tindakan itu pada Mei tahun lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Morni berkata, pasukan yang melakukan operasi menyelamatkan mangsa adalah pasukan sama yang membantu polis memujuk mangsa ketika cubaan itu dilakukan di lokasi sama.

"Berdasarkan maklumat anggota yang menyelamatkan mangsa tadi, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan dan mengaku berpuasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim memaklumkan mangsa sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

"Siasatan mendapati, subjek adalah pemegang kad OKU (Mental). Ini cubaan kedua untuk membunuh diri di tempat yang sama.

"Semasa cubaan pertama pada Mei tahun lalu, subjek sendiri menghubungi bilik gerakan IPD Shah Alam sebelum membuat cubaan bunuh diri.

"Subjek dibawa ke HTAR untuk mendapat rawatan. Ahli keluarga subjek yang tinggal di Seksyen 24, Shah Alam dimaklumkan sebaik polis menerima maklumat awal," katanya.

Pada 22 Mei tahun lalu, media melaporkan anggota polis mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memujuk mangsa yang bersendirian di bumbung bangunan sama.

Ketika itu, kejadian itu disedari orang awam jam 2.15 petang yang terkejut melihat wanita itu bersendirian di tebing atas bangunan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 4:18 PM