LOKASI belakang bangunan pusat konvensyen yang mana seorang lelaki tempatan maut. FOTO Ihsan IIPD Shah Alam.
LOKASI belakang bangunan pusat konvensyen yang mana seorang lelaki tempatan maut. FOTO Ihsan IIPD Shah Alam.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Lelaki tempatan maut dipercayai jatuh dari tingkat enam tempat letak kenderaan di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 56 tahun mengalami kecederaan pecah pada bahagian kepala.

"Siasatan mendapati, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa dipercayai memijak bonet hadapan keretanya sendiri untuk terjun dari tingkat enam bangunan itu.

"Hasil siasatan, mangsa tiada sebarang urusan di tempat berkenaan tetapi disyaki mencari tempat yang tinggi.

"Mangsa juga dipercayai tidak bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan pihak forensik mengesahkan tiada sebarang pergelutan dan tiada kecederaan lain.

"Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai Sudden Death Report (SDR), orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini, boleh salurkan kepada Sarjan Muhammad Nor (Penolong Pegawai Penyiasat kes) di talian 03-55202222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 11:03 PM