GADIS berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
GADIS berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Gadis yang berdiri di tingkat lima sebuah pasar raya di Seksyen 7, di sini, petang semalam mendakwa hanya ingin mencari ketenangan bukan berniat membunuh diri.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati gadis berumur 19 tahun yang juga warga tempatan itu dipercayai mengalami masalah tekanan dan kemurungan

"Maklumat dari bapa mangsa menyatakan bahawa mangsa mendapatkan rawatan berkaitan tekanan dan kemurungan yang dihidapi di Hospital Shah Alam.

"Mangsa pula menjelaskan tiada niat untuk membunuh diri dan berada di atas tembok berkenaan untuk menenangkan fikiran.

"Setakat ini, kes sudah dirujuk ke Hospital Shah Alam untuk tindakan susulan oleh pihak hospital," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal Ibrahim berkata, semalam pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan seorang perempuan dilihat berdiri di atas tembok paling atas di pasar raya terbabit.

"Siasatan mendapati, seorang lelaki yang juga rakan mangsa mendakwa ada melihat status WhatsApp daripada mangsa yang menunjukkan gambar berada di lokasi terbabit.

"Kemudian lelaki berkenaan bergegas ke lokasi dan berjaya memujuk wanita untuk turun," katanya.

Semalam media melaporkan, operasi menyelamatkan dan memujuk mangsa turut dilakukan dengan kerjasama pengawal keselamatan dan juga bomba.

Turut tular di media sosial video berdurasi 30 saat memaparkan gadis berkenaan berada di tingkat lima pasar raya terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 9:01 AM