PASUKAN Bomba memasang bag udara dibawah bangunan sebelum berjaya memujuk seorang lelaki yang kecewa selepas putus cinta berjaya menyelamatkannya daripada membunuh diri di sebuah pusat beli-belah di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru. FOTO hsan Bomba Dan Penyelamat
PASUKAN Bomba memasang bag udara dibawah bangunan sebelum berjaya memujuk seorang lelaki yang kecewa selepas putus cinta berjaya menyelamatkannya daripada membunuh diri di sebuah pusat beli-belah di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru. FOTO hsan Bomba Dan Penyelamat
Izlaily Nurul Ain Hussein


USAHA anggota polis dan bomba selama dua jam memujuk lelaki yang kecewa selepas putus cinta, berjaya menyelamatkannya daripada membunuh diri di pusat beli-belah di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru, malam tadi.

Dalam kejadian pada 11.15 malam itu, lelaki berusia 38 tahun dan berasal dari Kota Tinggi terbabit dikatakan ingin terjun dari ketinggian kira-kira 20 meter di bangunan premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, anggota polis yang bertugas di Balai Polis Pelangi Indah menerima panggilan yang memaklumkan terdapat seorang lelaki yang cuba terjun dari bahagian tangga kecemasan di tingkat dua bangunan berkenaan.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati, seorang lelaki sedang berlegar-legar di podium tangga kecemasan aras dua bangunan itu dan sesekali bergayut pada gerigi bahagian luar bangunan sambil menjerit serta mengugut untuk terjun.

"Kita kemudian mendapatkan bantuan pasukan bomba dan mereka membuat persiapan dengan memasang beg udara di bahagian bawah bangunan itu sekiranya lelaki terbabit terjun.

"Lelaki terbabit hanya memakai seluar berwarna biru dan tidak memakai baju. Semakan mendapati jarak ketinggian dari aras dua bangunan itu adalah kira-kira 20 meter," katanya.

Beliau berkata, lelaki yang juga tidak bekerja itu akhirnya berjaya dipujuk selepas dua jam perbincangan dilakukan anggota polis dan bomba.

Katanya, lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

"Siasatan awal mendapati dia berbuat demikian kerana baru sahaja putus cinta dengan kekasihnya yang mana kekasihnya dikatakan mempunyai teman lelaki baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 5:49 PM