KEBAKARAN sebuah bengkel kereta yang mengorbankan seorang lelaki. FOTO Ihsan Bomba
KEBAKARAN sebuah bengkel kereta yang mengorbankan seorang lelaki. FOTO Ihsan Bomba
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Seorang lelaki dipercayai pekerja sebuah bengkel maut apabila bengkel terbabit terbakar di Jalan Jemuju, Seksyen 16, di sini, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 5.12 pagi sebelum pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian.

"Siasatan mendapati, kebakaran membabitkan sebuah lot kedai dua tingkat yang dijadikan bengkel kereta berukuran 56 meter persegi.

"Kebakaran berjaya dikawal bomba pada 5.42 pagi dan api padam sepenuhnya pada 6.07 pagi

"Bomba berjaya mengeluarkan seorang mangsa lelaki warga Pakistan yang tidak sedarkan diri," katanya hari ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam Superintendan Ramsay Embol berkata, siasatan mendapati mangsa yang tidak sedarkan diri itu disahkan meninggal dunia.

Katanya, mangsa yang dipercayai pekerja bengkel dijumpai di tangga bangunan kerana tidak berjaya menyelamatkan diri.

"Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian dan mengalami kecederaan melecur pada kedua-dua belah kaki.

"Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat," katanya.

Ramsay berkata, bangunan itu 100 peratus musnah akibat kebakaran dan masih dalam siasatan forensik bomba.

"Kes diklasifikasi sebagai laporan kebakaran dan kematian mengejut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

From: yue

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 9:50 AM