ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang wanita dipercayai kurang siuman yang cuba terjun dari bangunan hotel. FOTO ihsan Bomba Selangor
ANGGOTA bomba menyelamatkan seorang wanita dipercayai kurang siuman yang cuba terjun dari bangunan hotel. FOTO ihsan Bomba Selangor
Ruwaida Md Zain


Klang: Bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita kurang siuman daripada terjun dari tingkat tiga sebuah hotel di Jalan Goh Hock Huat, Bandar Baru Klang, di sini, malam tadi.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden itu.

"Bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 8.17 malam mendapati seorang wanita tempatan dipercayai kurang siuman berada di tingkat tiga bahagian balkoni belakang bangunan hotel.

"Mangsa dipercayai meracau, meronta dan bercakap sendirian semasa bomba dalam proses memujuk dan menurunkannya.

"Bomba mengambil masa kira-kira 40 minit membawa mangsa turun menggunakan tangga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Norazam berkata, siasatan mendapati mangsa berumur 34 tahun itu dipercayai menghadapi masalah tekanan perasaan.

Katanya, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan dibawa dan diserahkan kepada pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 12:23 PM