ANGGOTA bomba mendukung kanak-kanak yang diselamatkan selepas tersepit pintu lif di PPR Hicom. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba mendukung kanak-kanak yang diselamatkan selepas tersepit pintu lif di PPR Hicom. FOTO Ihsan Bomba.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kanak-kanak lelaki cedera di kepala selepas terjatuh dan tersepit pintu lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom, Seksyen 26 di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bergegas ke lokasi sebaik dimaklum kejadian dan tiba pada 7.30 malam.

"Siasatan mendapati, ketika kejadian, lif dinaiki lima individu yang mahu turun dari tingkat enam. Bagaimanapun, ia tersangkut di tingkat empat.

"Dalam masa sama, seorang daripada lelaki dewasa yang sedang mendukung anaknya berumur setahun setengah bersandar pada pintu lif dan tiba-tiba kanak-kanak itu terjatuh dan tersepit pada lubang antara pintu lif dan dinding bangunan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Morni berkata, mangsa dalam keadaan sedar dipercayai tersepit selama 20 minit sebelum bomba tiba.

"Dengan menggunakan peralatan khas, anggota berjaya mengeluarkan mangsa yang cedera di kepala, dalam tempoh lima minit.

"Mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital KPJ Shah Alam menggunakan jentera EMRS Bomba," katanya.

Menurutnya, empat individu lain termasuk bapa mangsa tidak cedera dan dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 9:48 PM