HARGA tomato Cameron Highlands kini mencapai RM5.50 sekilogram. FOTO Mohd Rafi Mamat
HARGA tomato Cameron Highlands kini mencapai RM5.50 sekilogram. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mendapati harga sayur tanah tinggi Cameron Highlands kini tidak menentu disebabkan faktor pengeluaran dan permintaan semasa.

Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri berkata terdapat 23 jenis sayuran jenis daun, buah dan ubi keluaran pekebun di Cameron Highlands.

Menurutnya, terdapat beberapa sayuran kini dijual pada harga ladang melebihi RM5 sekilogram, antaranya tomato, lada bengala merah dan hijau, cili merah minyak, terung panjang, tong ho, tomato serta lik.

Katanya, harga tomato pernah mencecah lebih RM10 sekilogram pada awal tahun ini ketika Tahun Baru Cina berikutan pengeluaran yang berkurangan sedangkan permintaan begitu tinggi.

"Kita setiap dua hari sekali merekodkan harga 23 sayuran keluaran pekebun di Cameron Highlands. Harga ladang akan mempengaruhi harga jualan runcit.

"Harga ladang kini lebih banyak dipengaruhi oleh pekebun kerana mereka sebagai pengeluar, bagaimanapun mereka tetap akur dengan peraturan yang tetapkan kerajaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau menambah, cuaca tidak menentu juga turut mempengaruhi harga sayuran.

Bagaimanapun bekalan sayuran di negeri ini masih mencukupi dan harganya tidak terlalu tinggi, katanya.

Saiful berkata, pihaknya sentiasa memberi galakan kepada masyarakat supaya terbabit dalam sektor pertanian dan pelbagai kemudahan disediakan kerajaan. "Kita tidak ingin melihat pengguna terus terbeban dengan harga tidak menentu sayuran di negeri ini, justeru kawalan harga dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Bagi mendapatkan sayuran pada harga lebih rendah dan segar, pengguna boleh ke pasar tani dan program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) anjuran FAMA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 10:41 AM