Peniaga sayur Pasar Besar Alor Setar, Ooi Ooh Seng. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Peniaga sayur Pasar Besar Alor Setar, Ooi Ooh Seng. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Harga sayur-sayuran di negeri ini didapati meningkat sejak dua minggu lalu menyebabkan peniaga terus dihantui kebimbangan sekiranya peningkatan harga terus berlaku menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian.

Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar hari ini, mendapati harga sawi yang sebelum ini hanya RM3 hingga RM4 sekilogram, kini mencecah sehingga RM7 sekilogram manakala tomato pula naik kepada RM4 sekilogram daripada RM3.

Sebahagian besar peniaga mendakwa memperoleh harga yang tinggi melalui orang tengah menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga itu bagi mendapat sedikit keuntungan.

Peniaga, Chan Ah Chai, 64, berkata, dia yang sudah lebih 30 tahun berniaga sayur di pasar itu mendakwa, alasan yang diberikan pemborong ialah cuaca tidak menentu menyebabkan sayur-sayuran sukar diperoleh.

Katanya, disebabkan itulah harga sayur meningkat menyebabkan peniaga terpaksa menanggung kerugian disebabkan kekurangan pembeli.

"Saya terpaksa kurangkan pembelian sayur melalui pemborong kerana sayur tidak tahan lama dan perlu dijual segera bagi mengelak ia rosak.

"Antara sayur yang naik harga adalah sawi, tomato, cili merah dan daun bawang," katanya.

Ooi Ooh Seng, 52, pula memaklumkan yang dia baru kembali berniaga dua hari lalu selepas berehat disebabkan sukar mendapatkan bekalan sayur.

Katanya, dia membeli sayur pada harga agak mahal dan menaikkan sedikit antara 50 sen hingga RM1 bergantung pada jenis sayur yang dijual bagi mengelak kerugian.

"Takkan la saya beli RM4 sekilogram nak jual juga pada harga sama. Kena naikkan sedikit harga untuk dapatkan semula modal.

"Biasanya yang datang beli adalah peniaga kedai makan kerana mereka beli secara borong dan ia murah sedikit," katanya.

Menurutnya, kebanyakan sayur yang dijualnya diambil dari Cameron Highlands, Thailand selain sayuran tempatan.

Namun katanya, harga sayur dari Cameron Highlands lebih mahal berbanding sayur dari Thailand kerana ia lebih segar.

"Saya harap harga sayur kembali normal bagi mengelakkan peniaga seperti kami rugi kerana pelanggan takut nak beli," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah Rae Morn Verak berkata, pihaknya menggerakkan pegawai untuk melakukan pemantauan dan pemeriksaan di setiap pasar awam di negeri ini setiap hari bagi memantau harga sayuran melalui Op Pasar.

Beliau berkata, 172 pegawai KPDNHEP Kedah termasuk di Langkawi melakukan pemeriksaan bagi memastikan tidak ada peniaga yang menaikkan harga sayuran sehingga membebankan pengguna.

"Pemeriksaan turut dilakukan di Pasar Besar Alor Setar pada Op Pasar yang bermula sejak 27 November lalu.

"Kompaun akan dikenakan terhadap peniaga yang tidak meletakkan tanda harga sayur dijual," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 1:39 PM