AZMAN (tengah) melakukan pemeriksaan harga sayuran di pasar awam dan pasar raya di Putrajaya. FOTO Ihsan KPDNHEP
AZMAN (tengah) melakukan pemeriksaan harga sayuran di pasar awam dan pasar raya di Putrajaya. FOTO Ihsan KPDNHEP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Hanya tomato dan timun Jepun yang dihasilkan pekebun sayur di Cameron Highlands, Pahang, mengalami kenaikan harga antara 15 hingga 30 peratus, manakala harga sayuran stabil.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pihaknya melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas beberapa pasar awam dan pasar raya di sekitar Putrajaya, hari ini.

"Pemantauan dilakukan bagi melihat beberapa sayuran yang dihasilkan oleh pekebun di Cameron Highlands seperti tomato, timun Jepun, cili, kubis, kacang buncis, capsicum dan salad.

"Hasil pemeriksaan dilakukan di beberapa pasar awam di Putrajaya mendapati tomato dan timun Jepun mengalami kenaikan harga antara 15 hingga 30 peratus, manakala harga sayuran lain dilihat masih stabil.

"Pemantauan dilakukan di sebuah pasar raya di Putrajaya pula mendapati harga semua jenis sayuran masih stabil seperti harga sebelum ini tanpa sebarang kenaikan ketara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, maklumat harga yang direkodkan oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP pula mendapati kenaikan harga bagi beberapa sayuran dikenal pasti di peringkat nasional.

"Ia membabitkan tomato iaitu sebanyak 8.33 peratus); sawi (2.91 peratus); timun (2.08 peratus); kubis bulat tempatan; (2.73 peratus); kailan (2.37 peratus); kangkung (2.29 peratus); brokoli (2.27 peratus) dan capsicum (2.07 peratus).

"Secara umumnya, situasi bekalan sayuran dilihat masih stabil di semua pasar awam dan pasar raya sekitar Putrajaya. Namun, kami tidak menolak kemungkinan akan berlaku gangguan bekalan sayur-sayuran tertentu ekoran pelaksanaan PKPD di Cameron Highlands," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan di seluruh negara terhadap harga sayur dan tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"Tindakan tegas akan diambil jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut.

"Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan.

"Pengguna boleh menyalurkan maklumat aduan berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP melalui saluran aduan disediakan untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 7:30 PM