ANGGOTA penguatkuasa KPDNHEP sedang memeriksa harga sayur-sayuran yang dijual peniaga di Pasar Besar Sena, Kangar hari ini. FOTO IHSAN KPDNHEP PERLIS
ANGGOTA penguatkuasa KPDNHEP sedang memeriksa harga sayur-sayuran yang dijual peniaga di Pasar Besar Sena, Kangar hari ini. FOTO IHSAN KPDNHEP PERLIS
Aizat Sharif


Kangar: Harga jualan sayur-sayuran di Perlis masih stabil tanpa kenaikan mendadak susulan cuaca yang tidak menentu akhir-akhir ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Perlis Norazah Jaapar berkata, sebahagian besar bekalan sayur-sayuran di Perlis diperoleh daripada pembekal di Cameron Highlands dan Thailand.

"Trend kenaikan harga sayuran berlaku dengan ketara sejak minggu lalu di beberapa negeri membabitkan kubis, sawi, kobis bunga hijau, kacang buncis dan cili merah. Julat kenaikan harga bagi sayur-sayuran ini antara RM2 hingga RM8 sekilogram.

"Maklumat yang diterima, kenaikan harga berpunca daripada faktor cuaca yang mana hujan berterusan menyebabkan bekalan berkurangan.

"Namun begitu, berdasarkan pemeriksaan harian kami, bekalan sayur-sayuran di Perlis masih stabil malah kita dapati, terdapat penurunan harga bagi kobis bunga hijau bermula semalam," katanya pada kenyataan hari ini.

Kata beliau, harga bagi sayuran-sayuran lain seperti taugeh, tomato dan cili hijau juga stabil berdasarkan pemeriksaan harian yang dijalankan oleh anggota KPDNHEP Perlis.

"Kami turut turut melakukan pemeriksaan harian. Hari ini, kami lakukan 29 pemeriksaan membabitkan 20 gerai di pasar awam, lima di pasar raya dan empat kedai runcit," katanya.

Sebelum ini, faktor cuaca termasuk hujan tidak menentu serta kerosakan tanaman di Cameron Highlands dikatakan sebagai penyebab bekalan sayur-sayuran di pasaran berkurangan hingga menyumbang kepada kenaikan harga.

Malah, bekalan sayur import turut berkurangan kerana negara pengeluar mengalami musim sejuk melampau.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 4:42 PM