Tinjauan harga sayur di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan naik antara RM1 hingga RM3 berbanding minggu sebelumnya. FOTO Mohd Rafi Mamat
Tinjauan harga sayur di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan naik antara RM1 hingga RM3 berbanding minggu sebelumnya. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


PENIAGA mendakwa terpaksa menaikkan harga beberapa jenis sayur seperti kacang panjang, cili merah, tomato dan timun walaupun mengetahui tindakan itu boleh mengundang masalah kepada mereka.

Tindakan itu didakwa perlu diambil berikutan pembekal menaikkan harga bekalan kerana pelbagai alasan termasuk faktor cuaca tidak menentu dan kemarau.

Peniaga, Norazira Mohd, 44, yang berniaga di Pasar Tani Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kuantan berkata, harga sayuran mula naik sejak awal Ramadan lalu sehingga menimbulkan rungutan dalam kalangan pengguna.

Katanya, empat jenis sayuran iaitu kacang panjang, cili merah, tomato serta timun mencatat kenaikan harga tertinggi antara RM1 hingga RM3 sekilogram (kg) dan ia dijangka terus meningkat setiap minggu hingga selepas Aidilfitri.

Menurutnya, peniaga memperoleh bekalan daripada pembekal tempatan dan luar Pahang pada harga tinggi, sekali gus memaksa mereka menaikkan harga bagi mengelak kerugian walaupun mendapat teguran daripada pihak berkuasa.

“Contohnya harga kacang panjang naik sehingga RM5.50 sekilogram (kg) berbanding RM3.50 hingga RM4.50 kg sebelum ini, manakala timun RM2 kg berbanding RM1.50 hingga 1.80 kg.

“Saya akan tunjukkan resit pembelian dari pembekal sekiranya pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) datang membuat pemeriksaan harga sayuran,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau yang dibantu suami Jamaluddin Husin, 42, berkata, dia mendapatkan bekalan sayuran daripada beberapa pekebun di daerah ini selain penjual di pasar borong.

Norazira berkata, peniaga sayur kini seolah tersepit antara pendapatan dan arahan kerajaan yang tidak membenarkan harga barangan kawalan dinaikkan tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang Rosli Aw Da berkata, kenaikan harga sayur termasuk produk pertanian lain berlaku disebabkan pemborong atau orang tengah yang cuba mengaut keuntungan secara berlebihan.

Katanya, walaupun FAMA tidak berkuasa menentukan harga produk pertanian, namun sebagai penganjur pasar tani nasihat serta teguran boleh diberikan kepada peniaga yang bertindak menaikkan harga secara melampau.

“Pegawai pemantau harga sayuran setiap hari berada di 35 pasar tani seluruh negeri bagi melihat perkembangan semasa selain memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.

“Program harga lantai diperkenalkan FAMA kepada petani yang menjadi peserta ladang kontrak membolehkan harga sayuran dan beberapa produk pertanian lain dijual pada harga lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata keadaan cuaca panas dan hujan tidak menentu juga mempengaruhi harga terutama membabitkan sayuran berdaun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 12:30 PM