PASARAN harga sayur sekitar Bandar Gua Musang melambung hingga menimbul keresahan kepada pengguna. FOTO Ramli Ibrahim
PASARAN harga sayur sekitar Bandar Gua Musang melambung hingga menimbul keresahan kepada pengguna. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Orang ramai mengeluh apabila harga pelbagai sayuran yang dijual di sekitar bandar ini melambung tinggi hingga hampir sekali ganda, sejak seminggu lalu.

Malah, mereka bimbang harga itu mungkin naik lagi apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Kelantan, bermula semalam.

Antara harga sayuran yang naik mendadak itu termasuk tomato, kubis, cili merah, timun, lobak, terung dan lada solok.

Penduduk, Sakimah Salleh, 41, berkata, harga tomato paling ketara meningkat iaitu RM8 sekilogram berbanding sebelum itu hanya RM3 sekilogram.

Menurutnya, mungkin kenaikan harga sayur itu berikutan pengeluaran berkurangan daripada pekebun sayur berikutan banjir dan kini PKPB.

"Permintaan terhadap sayur meningkat pada musim tengkujuh dan arahan berada di rumah apabila PKPB kali kedua di Kelantan.

"Memang saya terkejut apabila harga sayur melambung lebih daripada harga biasa dan belanja pun tidak boleh jimat dalam keadaan terdesak sekarang," katanya.

Sementara itu, peniaga sayur, Hamzah Mohamad, 56, mengakui harga sayur diambil daripada pemborong terlalu tinggi.

Dia berkata, ada sayur itu diambil dari Kota Bharu dan ada yang diambil dari Cameron Highlands, Pahang.

"Tomato memang lebih banyak diambil daripada pemborong di Cameron Highlands yang sebelum ini berharga sekitar RM3 sekilogram sahaja.

"Dalam tempoh empat hari ini harganya melambung sehingga RM8 sekilogram dan saya terpaksa menjual dengan harga tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 6:17 PM