BERNAMA

DRAF kaedah pembayaran balik hasil kajian holistik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membantu peminjam membayar balik pinjaman mereka akan dibentangkan kepada Kabinet dua minggu lagi, kata Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, walaupun menanggung bebanan kerana jumlah hutang yang tidak dibayar oleh peminjam sangat tinggi, PTPTN mempunyai tanggungjawab untuk membantu peminjam melunaskan pinjaman mereka.

“Saya tidak boleh dedahkan lagi kandungan draf tersebut,” katanya ketika ​​​​​​​ditemui pemberita selepas meninjau kerosakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis, antara 21 sekolah menengah yang rosak dibadai ribut pada Isnin lalu, hari ini.

Khamis lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika memberi syarahan utama di Residensi Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur berkata, kerajaan menanggung hutang terkumpul RM36 bilion ekoran kegagalan peminjam membayar balik pinjaman.

"Saya amat berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana menimbulkan isu ini,” kata Wan Saiful.

Katanya peminjam yang mampu seharusnya membayar pinjaman tanpa perlu menunggu dikenakan tindakan undang-undang barulah hendak membayar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 4:07 PM