WAKIL NGO yang hadir di Bangunan Perdana Putra, hari ini. Foto ihsan PGIRM
WAKIL NGO yang hadir di Bangunan Perdana Putra, hari ini. Foto ihsan PGIRM
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Global Human Rights Federation (GHRF) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meluahkan rasa kecewa dan marah apabila mendakwa tidak dilayani sewajarnya pegawai Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya, hari ini.

Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir berkata, pihaknya dijemput oleh pihak PMO untuk berbincang isu tuntutan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar.

Beliau berkata, kunjungan itu dilakukan hari ini selepas mendapat panggilan jemputan daripada pegawai khas PMO semalam.

"Pada jam 10 pagi kami hadir untuk berbincang mengenai tuntutan pengeluaran KWSP secara bersasar bersama pegawai khas Perdana Menteri Tuan Azmi.

"Namun, selepas lebih sejam 30 minit menunggu, kami dimaklumkan tidak dibenarkan naik dan pegawai lain akan turun bertemu delegasi atas alasan tiada sebarang dokumen dibenarkan untuk dibawa bersama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PGIRM berhujah untuk tuntutan pengeluaran KWSP secara bersasar menggunakan data dan statistik sebenar berdasarkan kajian yang sudah dibuat, bukan menggunakan mana-mana sentimen atau sembang kosong kedai kopi tanpa fakta dan hujah.

"Jadi bagaimana hala tuju perbincangan hendak dibuat jika tiada data dibenarkan dibawa bersama?

"Kami membuat keputusan untuk pulang tanpa bertemu mana-mana pegawai gantian kerana berasakan delegasi tidak sepatutnya dilayan sewenangnya.

"PGIRM, GHRF dan PPIM berasa sangat marah dan kecewa terhadap layanan yang diberikan kepada delegasi yang membawa suara rakyat dalam kesusahan.

"Adakah suara rakyat ini tidak penting di mata PMO sehingga temujanji ini dinafikan hanya kerana membawa dokumen sokongan?," katanya.

Apa pun beliau berkata, kejadian itu lebih menaikkan semangat NGO terbabit dalam memperjuangkan tuntutan rakyat berhubung pengeluaran KWSP bersasar dan mereka tidak akan sekali-kali berputus asa.

"Wang KWSP adalah wang titik peluh rakyat, bukan untuk dicagarkan kepada pihak bank! Jika Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, betul-betul mendengar kesusahan rakyat, wang KWSP seharusnya diberikan secara terus kepada pencarum.

"Bukan membenarkan pihak bank menjana keuntungan dari faedah dan fi pengurusan ke atas wang rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 4:40 PM