GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) tidak bersetuju dengan saranan pakar ekonomi supaya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijadikan cagaran kepada bank.

Timbalan Presidennya Mohammad Farhan Jailani berkata, ia tidak akan menyelesaikan masalah hutang pencarum dengan pihak lain dan menampung kos sara hidup mereka.

Menurutnya, tujuan tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 Bersasar itu bukan saja untuk melunaskan hutang yang tertunggak, tetapi juga penyelesaian jangka masa pendek dalam menampung kos sara hidup yang meningkat.

"Adakah cagaran kepada pihak bank dapat menyelesaikan semua masalah pencarum dan wang itu masih ada ketika umur persaraan mereka?

"Sekiranya wang caruman KWSP digunakan sebagai cagaran atau dibayar terus kepada pihak bank, bagaimana pula dengan hutang pencarum kepada institusi bukan bank dan individu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 Bersasar itu sebagai suntikan wang tunai untuk individu yang terkesan bagi bangkit membina kehidupan mereka semula selepas pandemik Covid-19.

Katanya, PGIRM memohon pakar ekonomi mengkaji secara menyeluruh dan menyelami kesusahan serta punca sebenar pencarum menuntut pengeluaran.

Tambahnya, PGIRM yakin kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendengar rintihan dan tuntutan rakyat.

Harian Metro hari ini melaporkan, pakar ekonomi berkata KWSP boleh menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi meyakinkan pihak institusi perbankan untuk membantu pencarum yang menghadapi masalah kewangan termasuk beban hutang.

Langkah berkenaan antara pendekatan alternatif yang boleh dilakukan KWSP selain membenarkan pengeluaran wang tunai kepada pencarum seperti yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 9:07 PM