Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menyerahkan memorandum rayuan tuntutan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2.0 secara bersasar di Pejabat Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya, hari ini.

PGIRM yang diwakili oleh Timbalan Presiden, Mohammad Farhan Jailani turut menyerahkan surat memohon Sesi Kunjung Hormat kepada Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

PGIRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berharap menteri berkaitan dapat mempertimbangkan permohonan agar mereka dapat bertemu.

"PGIRM berharap memorandum dan permohonan sesi kunjung hormat dapat diberi perhatian oleh menteri sekali gus kami diberi peluang bertemu menteri KPDN pada tarikh dan masa yang dipohon.

"Saban hari PGIRM tidak pernah berhenti menerima aduan, luahan dan keluhan rakyat khususnya pencarum yang terganggu teruk akibat beban kewangan dan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.

Menerusi kenyataan sama juga, PGIRM akan terus merayu hingga pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar diluluskan kerajaan.

"Rakyat terkesan ini menghadapi gangguan emosi yang teruk hingga merosakkan keharmonian rumah tangga dan ada yang ingin mencari jalan pintas menamatkan riwayat hidup mereka supaya ahli keluarga yang tinggal dapat meneruskan dan membaiki kehidupan mereka dengan wang KWSP mereka yang ditinggalkan.

"PGIRM akan terus merayu kepada pihak kerajaan tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar ini diluluskan dengan kadar segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 5:09 PM