GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR) yakin 'suara' pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memohon pertimbangan kebenaran pengeluaran KWSP 2.0 bersasar akan didengar kerajaan.

Presiden PGIR Azmi Mohd Tahir berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima laporan dan aduan sebanyak 320,000 pencarum yang didapati betul-betul terkesan dan mendesak kerajaan meluluskan tuntutan bersasar itu.

Katanya, jumlah itu hanya melalui hasil diterima daripada borang aduan dibuat PGIR dan belum mengambil kira jumlah sebenar pencarum di luar yang betul-betul terkesan.

"Tuntutan kami kali ini bersasar sebab kita tak mahu lihat perbelanjaan tidak terkawal atau pencarum (tak terkesan) ambil kesempatan mengeluarkan simpanan KWSP untuk berjoli.

"Kami membawa lebih 320,000 suara pencarum, saya amat yakin kelulusan oleh kerajaan akan diperoleh kerana kami mendapat sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO) lain dan wakil rakyat di Dewan Rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Global Human Rights Federation (GHRF) bagi memperjuangkan tuntutan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar 2.0.

Mengenai MoU bersama GHRF, Azmi berkata, pihaknya akan membawa empat usul tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 mengikut kategori dan keperluan.

Beliau berkata, empat usul itu antaranya membabitkan kategori suri rumah dan ibu tunggal; bekas pekerja swasta yang tidak lagi mencarum dan tidak mempunyai pekerjaan tetap; pencarum berusia 54 tahun ke bawah yang mempunyai simpanan Akaun 1 melebihi RM20,000 dan pencarum aktif mencarum mempunyai baki simpanan Akaun 1 RM19,999.99 ke bawah.

"Kami merayu dan berharap Perdana Menteri dan kerajaan baharu ini benarkan pengeluaran KWSP.

"Bantulah rakyat kerana kami menerima banyak aduan daripada mereka yang berdepan kesempitan hidup sehingga mengundang keruntuhan institusi keluarga, ada juga yang rumah terpaksa dilelong, dikejar bank dan along," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 3:04 PM