ANGGOTA bomba memberi bantuan pernafasan kepada kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang tergelincir dalam longkang di Taman Seraya, Tikam Batu. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memberi bantuan pernafasan kepada kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang tergelincir dalam longkang di Taman Seraya, Tikam Batu. FOTO ihsan bomba
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun berjaya diselamatkan orang awam selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Seraya, Tikam Batu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak terbabit, Muhammad Danish Yusmadi dipercayai tergelincir ke dalam longkang berkenaan dan disedari orang awam yang membantunya sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.29 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Mohd Shafaren Ishak tiba pada jam 2.49 petang.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan dari MERS 999 berhubung seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai tergelincir dalam longkang di lokasi kejadian.

"Namun kanak-kanak itu berjaya diselamatkan oleh orang awam dan setibanya pasukan bomba di lokasi, anggota terbabit memberi bantuan pernafasan CPR kepada mangsa untuk menyelamatkannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital.

Beliau berkata, operasi turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Guar Chempedak dan keseluruhan anggota membabitkan seramai 10 orang selain bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 4:13 PM