Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 satu kilogram (kg) dengan peruntukan berjumlah RM350 juta.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata, persetujuan itu semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Bajet 2023 pada 24 Februari lalu.

"Kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan pekebun kecil getah yang mana pendapatan mereka akan terjejas apabila harga getah merosot," katanya semasa pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang bertanyakan adakah kerajaan bercadang menaikkan kadar IPG daripada RM2.50 ke RM4.50 pada waktu ini.

Aminah menambah, mengenai cadangan meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM4.50 satu kg, pihak kementerian akan melaksanakan paras harga pengaktifan IPG RM2.70 seperti mana yang diumumkan dalam Bajet 2023.

"Dalam masa sama, Kementerian Perladangan dan Komoditi akan memperhalusi cadangan itu bersama kementerian dan agensi terbabit tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa kerajaan," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 11:19 AM