Fadillah bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di ladang getah milik Lee Chong Choon sempena program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung di Kuala Sawah, hari ini.  FOTO BERNAMA
Fadillah bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di ladang getah milik Lee Chong Choon sempena program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung di Kuala Sawah, hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pekebun kecil getah di negara ini akan terus menikmati Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada kerajaan walaupun harga lantai getah kurang daripada harga pasaran.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ketika ini harga lantai getah sekerap yang ditetapkan ialah RM2.70 sekilogram (kg) manakala susu getah beku ialah RM2.30 setiap kg.

"Sekiranya jika harga pasaran kurang daripada RM2.70 kg, kerajaan akan membantu menyalurkan insentif kepada pekebun kecil untuk pastikan mereka menerima harga getah pada harga asal.

"Insentif ini disalurkan kepada pekebun menerusi sistem dalam talian yang dibangunkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) di mana apabila mereka menjual getah sekerap di pusat pengumpulan pada harga rendah, insentif itu akan diberikan melalui akaun penoreh.

"Bagi susu getah pula, kerajaan menyalurkan insentif RM1 bagi setiap kilogram supaya mereka juga dapat membantu menghasilkan susu getah dan membantu negara mengurangkan kadar import susu getah," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) ditemui media selepas program Trek Komoditi KPK 2023 di Pusat Pengumpulan Getah dan ladang getah, di Kampung Kuala Sawah, Rantau, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.

Fadillah berkata, ketika ini, susu getah di pasaran berharga RM6 per kg manakala susu getah beku ialah RM2.30 per kg.

Beliau berkata, ketika ini keseluruhan pekebun kecil di Negeri Sembilan adalah seramai 28,528 orang membabitkan keluasan kebun sebanyak 37,500 hektar.

"Bagaimanapun, yang aktif menoreh hanya 18,000 orang penoreh, bermakna 10,000 tidak turun menoreh, kita sedang teliti mengapa mereka tidak menoreh adakah faktor umur atau harga yang tidak begitu baik.

"Sebab itu kita berikan insentif IPG ini bagi menggalakkan mereka turun menoreh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 2:36 PM