FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hassan Omar


KEMENTERIAN Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dirayu mengkaji semula keputusan tidak menaikkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM4 sekilogram berbanding RM2.50 sedia ada.

Ini kerana harga RM2.50 disifatkan penoreh dan pekebun kecil sebagai terlalu rendah dan tidak berbaloi dengan tenaga yang dicurahkan untuk menghasilkan komoditi berkenaan, apatah lagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dengan harga getah beku semasa RM1.90 sekilogram dan IPG 60 sen diberikan kerajaan, penoreh dan pekebun kecil terpaksa terus bergelut dengan kesempitan hidup yang memaksa mereka terpaksa melakukan kerja lain untuk menambah pendapatan.

Penoreh, Mohd Ahad Mohd Saat, 66, berkata dia sekadar mengambil upah menoreh di kebun getah seluas 1.2 hektar milik penduduk Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah sejak beberapa tahun lalu.

"Selepas dibahagi dua hasil jualan antara saya dengan pemilik kebun, saya hanya mendapat antara RM700 hingga RM800 sebulan dan wang tuntutan IPG yang dibayar Lembaga Getah Malaysia (LGM) hanya suku daripada jumlah itu.

"Selain itu, saya terpaksa menunggu dua bulan untuk mendapatkan tuntutan IPG dan saya tidak ada jalan lain, selain terpaksa mengambil upah membuat kerja kampung untuk menambah pendapatan," katanya.

Badrun Kasiman, 65, juga merayu kementerian mengkaji semula IPG itu kerana mendakwa ia rendah dan tidak membantu penoreh dan pekebun kecil.

"Saya tidak ada kebun getah sendiri dan terpaksa mengambil upah menoreh kebun seluas dua hektar milik orang lain dengan pendapatan kira-kira RM900 sebulan, bergantung kepada cuaca.

"Sudah hampir lima tahun tidak pernah menikmati kenaikan harga getah beku dan kami semakin dihimpit kemiskinan hingga terpaksa ikat perut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 3:07 PM