GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menegaskan kerajaan sentiasa komited dalam membantu pekebun kecil khususnya yang terbabit dalam sektor getah.

KPK dalam kenyataannya berkata, kementerian sudah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya Insentif Pengeluaran Getah (IPG), yang diperkenalkan sejak 2015 sehingga 31 Disember 2022.

Katanya, sehingga kini, bantuan sudah diagihkan kepada 207,128 pekebun kecil getah di seluruh negara dengan nilai berjumlah RM446 juta (Semenanjung: RM313 juta; Sarawak: RM4 juta dan Sabah: RM129 juta).

"Terkini, kerajaan juga telah bersetuju menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM350 juta.

"Kerajaan turut memperkenalkan Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) di mana setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program IPL akan menerima insentif tunai sebanyak RM1 sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK).

"Peserta juga akan menerima bantuan dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850 bagi setiap hektar secara sekali beri," katanya.

Menurutnya, harga produk juga ditentukan oleh permintaan dan penawaran antarabangsa.

Selain itu, antara faktor lain yang mempengaruhi harga getah asli adalah seperti prestasi pasaran hadapan, harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang asing dan pertumbuhan ekonomi negara pengeluar serta pengimport utama getah dunia.

Bagi meningkatkan penggunaan getah asli di Malaysia, kerajaan juga menyediakan peruntukan berjumlah RM50 juta untuk penggunaan Cuplump Modified Bitumin (CMB) bagi penyelenggaraan jalan dalam Belanjawan 2023.

"Ini salah satu teknologi yang dibangunkan oleh LGM dan kementerian mengalu-alukan cadangan dan saranan yang diutarakan oleh pelbagai pihak termasuk Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (Pergetah) ke arah meningkatkan industri getah negara," katanya.

KPK berkata, kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab kepada laporan disiarkan Berita Harian yang bertajuk 'Tiada lagi hasil getah Malaysia?' yang menyentuh mengenai harga getah rendah dan berterusan tidak stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 11:58 AM